KUALA LUMPUR: Dalam usaha melestarikan hala tuju membantu golongan yang memerlukan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menggariskan pelbagai inisiatif menerusi Pelan Strategik MAIWP 2021-2025 dan Manfaat Kewangan Asnaf.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Daud Bakar berkata, inisiatif itu berpaksikan kepada pengurusan kemiskinan secara komprehensif khususnya menerusi dana zakat, wakaf dan sumber am yang memfokuskan kepada masyarakat Islam di Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan.

Jelasnya, Pelan Strategik tersebut bertemakan idea besar "Empowering & Enterprising" dengan enam teras strategik utama iaitu antaranya, meningkatkan impak dan keberkesanan agihan zakat MAIWP dalam membasmi kemiskinan serta melestarikan pengurusan hasil dan hartanah umat Islam.

“Pemangkin utama Pelan Strategik MAIWP 2021-2025 ini terdiri daripada empat dokumen penting iaitu Blueprint Pembangunan Asnaf, Blueprint Pendidikan, Blueprint Pembangunan Hartanah dan Blueprint Pendigitalan.

"Pelan Strategik ini akan menjadi asas untuk MWIP bergerak pantas, proaktif dan sentiasa cakna dengan denyutan nadi ummah,” beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik (MAIWP) 2021 - 2025 dan Manfaat Kewangan Asnaf di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah secara maya menerusi rakaman video titah pelancaran. Hadir pada majlis itu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad.

Selain itu, Daud berkata, hari ini MAIWP turut menjalin kerjasama strategik bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Simpan SSPN Prime.

“MAIWP menyalurkan dana berbentuk simpanan kepada anak penerima bantuan bulanan MAIWP seawal usia setahun bermula tahun ini hingga 2026.

“Dana maksimum RM5,000 setiap seorang kepada 1,000 anak asnaf ini dibayar secara one-off dengan peruntukan RM5 juta setahun,” katanya

Pada masa sama, Daud berkata, kerjasama turut dijalin bersama Permodalan Nasional Berhad (PNB) daam mewujudkan dana pelaburan  menerusi Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang mana seramai 1,000 asnaf terdiri ketua keluarga akan mendapat manfaat setiap tahun untuk tempoh lima tahun

“Kesemua dana tabung ASB ini membabitkan perbelanjaan RM20 juta yanga mana MAIWP memperuntukkan RM15 juta manakala PNB RM5 juta,” katanya.